Rabu, 1 Ogos 2012

JURULATIH 1M1S


Guru turut berperanan lahir jaguh sukan

Peserta kursus menunjukkan isyarat satu sebagai simbolik 1 Murid 1 Sukan di SMK Padang Saujana, Jerantut, baru-baru ini. - UTUSAN/M.Rizal Nor
JERANTUT 29 Mei - Jasa dan pengorbanan guru tidak hanya terbatas melahirkan modal insan yang cemerlang dalam akademik sahaja bahkan warga pendidik juga merupakan individu yang bertanggungjawab melahirkan jaguh sukan negara.
Ketua Unit Pembangunan Kemanusiaan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Jerantut, Jamalruddin Samsudin berkata, guru memainkan peranan yang penting melahirkan seorang atlet berjaya.
"Sekolah umpama kilang yang mengeluarkan jaguh-jaguh sukan tanah air kerana bakat mereka bermula di bangku sekolah sebelum dikembangkan ke peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.
"Jadi guru-guru yang ada di sekolah bukan sahaja mempunyai kepakaran dalam bidang akademik malah turut pakar dalam bidang sukan atau kokurikulum," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis penutup Kursus Jurulatih Pelaksanaan Dasar 1 Murid 1 Sukan selama tiga hari di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Saujana, di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Pengelola Cemerlang Sukan Jabatan Pelajaran Negeri Pahang, Hashim Abd. Rahim dan Penyelia Sukan PPD Jerantut, Supian Kasim.
Kursus tersebut disertai seramai 120 guru dari sekolah menengah dan rendah sekitar daerah ini yang dikendalikan jurulatih utama peringkat negeri melibatkan 10 jenis sukan termasuk bola sepak, bola tampar, ping pong dan badminton.
Jamalruddin berkata, kursus itu penting kerana semua pelajar sekolah sama ada menengah atau rendah perlu melibatkan diri sekurang-kurangnya dalam satu jenis sukan mulai tahun lepas.
"Kursus ini memberi latihan sempurna kepada para peserta bermula daripada pengenalan setiap sukan, peralatan digunakan, undang-undang dan cara bermain dan manipulasi alatan," ujarnya.
Menurutnya, kursus itu juga dapat melahirkan semangat kerjasama, komunikasi yang baik dan kreativiti guru untuk mengendalikan sesuatu jenis sukan bagi menarik minat pelajar.
Pada masa sama, peserta kursus turut diterapkan dengan cara-cara pengurusan kelab sukan, perancangan dan pengelolaan sesuatu kejohanan serta sistem pertandingan yang akan dijalankan.
"Saya berharap kursus ini dapat melahirkan guru-guru yang pakar dalam setiap jenis sukan yang dipertandingkan dan mereka berusaha melahirkan pelajar-pelajar yang akan bergelar jaguh satu hari nanti selain memartabatkan sukan di daerah ini," jelasnya.

1 ulasan:

  1. blog unit sukan sudah kami pautkan..jangan lupa pautkan blog ppda pula..

    BalasPadam