Jumaat, 20 Julai 2012

KEM 1M1S JERANTUT 2012


1Murid 1Sukan medan pupuk perpaduan masyarakat majmuk


PARA peserta Kem 1M1S menunjukkan isyarat 1Malaysia pada majlis penutup kem tersebut di SMK Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak, Jerantut, baru-baru ini.

JERANTUT 10 Julai - Penganjuran Kem 1Murid 1Sukan (1M1S) oleh Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Jerantut di sini, baru-baru ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada kegiatan kokurikulum, tetapi menjadi medan terbaik untuk memupuk semangat perpaduan sejak di bangku sekolah.
Penyelia Unit Sukan PPD Jerantut, Mohd. Supian Mohd. Kasim berkata, program tersebut dilihat berjaya memupuk semangat setia kawan antara murid yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India.
"Jika di sekolah, mereka tidak dapat bergaul kerana murid ini terpisah dengan aliran Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina serta Tamil namun kelihatan ceria dan seronok berkawan sepanjang kem selama tiga hari itu.

"Paling mencuri perhatian apabila murid kaum India, S. Yogenthiran, 10, dari SJK Tamil Jerantut di sini menjadi ketua murid dan menjalankan tugas dengan baik bersama murid-murid Cina dan Melayu," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup Kem 1M1S Daerah Jerantut yang disempurnakan oleh Guru Penolong Kanan Kokurikulum, Haidzir Mohd. Akil di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak, di sini.
Menurutnya, kem itu melibatkan seramai 92 murid dengan setiap sekolah menghantar empat wakil serta 23 guru dan dikendalikan 10 guru terlatih.
"Program itu bertujuan memberi pendedahan mengenai lima sukan teras iaitu bola sepak, bola jaring, sepak takraw, hoki dan badminton selain pengurusan organisasi kelab dan pengubahsuaian permainan," ujarnya.
Beliau memberitahu, aktiviti pertama yang dijalankan adalah Pengenalan Pengurusan Kelab iaitu pendedahan kepada peserta mengenai organisasi sesebuah kelab sukan serta fungsi setiap murid berdasarkan jawatan yang disandang.
"Selepas mendengar ceramah jurulatih, semua peserta kemudiannya membuat latihan dalam kumpulan bagi membentuk organisasi yang lengkap berdasarkan kelab sukan dipilih dan seterusnya membuat pembentangan kepada ahli kumpulan lain," jelasnya.
Mohd. Sopian berkata, para peserta kemudian diberi peluang bermain semua jenis permainan tersebut secara bergilir-gilir supaya mendapat pengetahuan serta kemahiran yang akan digunakan apabila kembali ke sekolah.
"Hasilnya, kita harap para peserta akan menjadi duta sukan dan mengaplikasikan kemahiran yang mereka peroleh melalui kem ini di sekolah masing-masing," jelasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan